Panduan dan Kod Praktis Penulis Tamu

DEFINASI PENULIS TAMU

Penulis Tamu adalah penulis sambilan yang dijemput atau menawarkan diri untuk menulis dan menerbitkan bahan asli secara sambilan dan sukarela. Ini boleh dilakukan bagi memenuhi slot kosong, mengisi kekosongan kepakaran dalam sesuatu bidang atau sebarang keperluan lain. Penulis Tamu harus mendapat persetujuan para admin yang lain.

Pelantikan Penulis Tamu adalah secara kontrak. Setiap Penulis Tamu akan diselia oleh seorang Admin Ini Sains Beb (ISB).

GARIS PANDUAN UNTUK PENULIS TAMU

ISB sentiasa terbuka kepada mana-mana penulis untuk menyumbangkan bahan atau artikel secara sukarela untuk diterbitkan di website atau page ISB. Proses sumbangan artikel adalah seperti berikut:

  1. Penulis Tamu boleh menghantar seberapa banyak artikel bertemakan sains kepada kami. Sebarang bahan tambahan seperti gambarajah, imej dan sebagainya amat dialu-alukan.
  2. Admin ISB akan menilai artikel tersebut berdasarkan kesesuaiannya dengan falsafah dan prinsip ISB. Kemudian ISB akan membuat semakan kesahihan fakta dan mesej yang terkandung di dalam artikel tersebut. Jika perlu, Admin ISB akan menyenaraikan cadangan suntingan, pembetulan atau penulisan semula untuk tindakan lanjut.
  3. Proses 2. akan diulang sehingga kedua-dua pihak puas hati dengan kualiti artikel tersebut.
  4. Pihak admin akan menerbitkan artikel tersebut di website ISB (inisainsbeb.com) sebelum dikongsi pautannya di Facebook dan Instagram ISB.

SKOP BAHAN

  1. Semua bahan yang diterbitkan di bawah ISB haruslah berteraskan sains.
  2. Bahan-bahan lain harus berunsurkan sains, memberi penerangan berkenaan sains, menegur atau memperbetulkan mitos sains atau pseudosains, dan seeloknya bermotifkan kesedaran awam dalam aspek sains.
  3. Semua bahan harus dilengkapi dengan rujukan luar yang berwasit, sahih dan termaktub sebagai rujukan umum. Sebarang rujukan tambahan adalah amat dialu-alukan. Rujukan pada artikel sendiri atau ISB (self-referencing) seeloknya dielakkan, melainkan sebagai kesinambungan naratif atau tema.
  4. Dalam mengkritik sesuatu aspek sains, para penulis disarankan untuk mengelak dari menyebut atau memperlihatkan akan produk, jenama atau pihak tertentu tersebut, kecuali sekiranya ia telah disebut secara eksplisit oleh media. Namun begitu, penyataan ini tidak harus menjadi kongkongan dalam menulis dan mengkritik.
  5. Semua bahan harus mengelak dari menyentuh aspek politik, agama dan bangsa kecuali dalam konteks sains. Pendirian ISB dalam tiga aspek ini adalah bersifat neutral dan saksama.
  6. Sebarang bahan yang bersifat menyerang, memalukan, menaikkan kemarahan dan menghasut yang tidak berlandaskan sains adalah ditegah sama sekali.

PANDUAN UMUM PENULISAN

  1. Semua sumbangan artikel ke ISB adalah secara sukarela.
  2. Semua hakcipta terpelihara atas nama penulis. ISB hanya memegang hak menyiar dan ulang-siar di Facebook, Instagram dan website ISB selama tempoh persetujuan.
  3. Ketepatan dan kejituan fakta dan sains di dalam artikel adalah atas tanggungjawab penulis.
  4. Disarankan 1-2 rujukan berwasit atau diiktiraf/berkredibeliti, di samping rujukan2 lain di dalam setiap artikel yg ditulis.
  5. Panjang sesebuah artikel seelok-eloknya sekitar 500 patah perkataan.
  6. Semua bahan dan maklumat yang bukan dipunyai oleh penulis harus disertakan dengan rujukan. Kredit perlu diberikan kepada pemilik bahan tersebut (termasuk foto, gambarajah, formula dan sebagainya).
  7. Penulis bertanggungjawab ke atas sebarang tuntutan hakcipta terhadap sebarang bahan yang terkandung di dalam artikel tersebut. Rujuk Hakcipta Bahan untuk maklumat lanjut.
  8. Setiap artikel yang dihasilkan harus disertakan dengan tandatangan berbentuk hashtag. Setiap penulis perlu memilih satu hashtag yang unik dan merujuk kepada dirinya. Penulis boleh menggunakan seberapa banyak hashtag yang dirasakan perlu.

HAKCIPTA BAHAN

  1. Semua bahan yang diterbitkan adalah hak penuh penulis.
  2. Penulis bertanggungjawab sepenuhnya terhadap ketepatan dan keaslian bahan-bahan yang dihasilkan.
  3. Sepanjang persetujuan bersama, penulis memberi hak secara automatik kepada ISB untuk menerbit, menyunting dan menyebarkan bahan yang dihasilkan termaktub kepada syarat-syarat yang telah dipersetujui.
  4. Penggunaan hashtag nama yang unik adalah digalakkan bertujuan untuk meletakkan tanda pemilikan terhadap artikel tersebut. Ia akan diutamakan sebagai tanda hakcipta dan pemilikan sebelum nama penerbit atau editor.
  5. Penulis berhak menyekat dan melarang ISB dari menggunakan bahan berhakciptanya. Penulis perlu memaklumkan admin ISB akan larangan tersebut serta-merta. Tindakan penarikan balik bahan akan diambil dalam tempoh 14 hari dari notis tersebut.
  6. Penulis yang menarik diri atau gugur dari senarai admin masih mempunyai hak terhadap bahan yang diterbitkan ketika bersama ISB.

Atas semangat profesionalisme, sebarang tindakan drastik berkenaan hakcipta diharap dapat didahului dengan perbincangan terbuka.

PERTIKAIAN TERHADAP BAHAN

  1. Oleh kerana penulis bertanggungjawab sepenuhnya terhadap bahan, maka sebarang kekeliruan, ketidak-jelasan dan kesilapan fakta menjadi beban galas penulis.
  2. Namun begitu, ISB akan bertindak sebagai pengantara bagi menyelesaikan sebarang konflik di antara pihak yang berkenaan dengan penulis.
  3. Dalam resolusi konflik, ISB akan sentiasa bertindak sebagai pelindung dan penaung kepada penulis. Ia harus ditangani dengan berhemah, tepat dan tanpa sentimen atau pengaruh emosi. Semua pihak harus dilayan dengan hormat dan profesional.
  4. Sebarang konflik harus ditangani di ruang private (PM, emel, telefon dsb). Resolusi awam adalah langkah terakhir sekiranya pihak tersebut enggan bekerjasama.
  5. Permohonan maaf secara terbuka boleh dibuat sekiranya ia boleh menyelesaikan masalah tersebut secara baik. Permohonan maaf boleh disertai dengan elemen-elemen munasabah yang dipersetujui oleh semua pihak yang terbabit.
  6. Sekiranya ISB dipihak yang benar, maka permohonan maaf secara tertutup dari pihak tersebut sudah memadai. Namun begitu, penulis berhak memohon pihak tersebut meminta maaf secara terbuka sekiranya melibatkan reputasi, maruah dan kesejahteraan umum penulis.

Pin It on Pinterest

Share This