Kebelakangan ini ramai netizen mulai gusar mengenai berita jangkitan penyakit Chikungunya yang semakin merebak berhampiran dengan negara kita namun terdapat ramai juga yang masih kurang pasti ataupun jelas dengan penyakit Chikungunya. Bagi mengelakkan diri daripada terkena jangkitan ini, anda sebenarnya terlebih dahulu perlu memahami apakah sebenarnya Chikungunya dan bagaimana jangkitannya boleh berlaku.

Apakah itu Chikungunya?

 Penyakit Chikungunya ini terjadi disebabkan oleh jangkitan daripada Chikungunya virus ataupun juga dikenali sebagai CHIKV iaitu merupakan sejenis genus Alphavirus. Chikungunya virus pertama kali ditemui di Tanzania pada tahun 1953 tetapi jangkitannya aktif merebak mulai sekitar tahun 2000 terutamanya di negara Afrika dan Asia. Terdapat juga laporan kes jangkitan Chikungunya di beberapa tempat di negara Eropah serta pada tahun 2013 di Amerika Syarikat.

Chikungunya ialah penyakit berjangkit bawaan nyamuk sama seperti  Demam Denggi dan juga Zika. Malah, kesemua penyakit berjangkit ini dibawa oleh dua jenis nyamuk vektor yang sama iaitu Aedes albopictus dan Aedes aegypti. Apa yang paling penting, kita perlu faham bahawa untuk terjadinya penyakit berjangkit bawaan nyamuk  adalah disebabkan situasi seperti ini:

Manusia + vektor + virus = Chikungunya/Denggi/Zika

@

Manusia + vektor+ virus = Chikungunya/Denggi/Zika

Manusia + vektor + virus = Chikungunya/Denggi/Zika

Manusia+ vektor + virus = Chikungunya/Denggi/Zika

Bagaimanakah jangkitannya boleh berlaku?

Chikungunya bukanlah perkara baru di Malaysia dan ianya pertama kali dilaporkan di Malaysia pada tahun 1999. Jangkitan akan berlaku apabila manusia yang sihat yang digigit oleh nyamuk betina Aedes yang berjangkit. Apabila terkena jangkitan, simptom penyakit akan muncul selepas 2-5 hari jangkitan bergantung kepada tahap sistem imum badan masing-masing dan virus akan aktif selama lebih kurang 12 hari di dalam badan manusia. Malah, ketika ini manusia yang berjangkit akan bertindak sebagai “pembawa penyakit” tanpa disedari dimana proses jangkitan boleh berlaku semula sekiranya ia digigit oleh nyamuk betina Aedes yang sihat!

Adakah Chikungunya merbahaya?

 Tidak seperti demam denggi, kes kematian agak jarang berlaku bagi penyakit Chikungunya dan tiada kes kematian pernah dilaporkan lagi di Malaysia setakat hari ini. Namun pesakit akan mengalami sakit otot/sendi yang berpanjangan sehingga berbulan biarpun setelah bebas daripada jangkitan. Apa yang menarik, manusia yang pernah dijangkiti dengan penyakit Chikungunya akan imum terhadap virus tersebut dan tidak akan dijangkiti lagi dan ini berbeza dengan Demam Denggi yang mempunyai 4 jenis strains yang berlainan!

Adakah mudah mendapat jangkitan ini di Malaysia?

 Aedes albopictus dan Aedes aegypti sememangnya mudah didapati di Malaysia dan sekiranya telah berlaku penyebaran virus maka kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga. Ini disebabkan habitat bagi kedua-dua jenis nyamuk ini sangat berhampiran dengan populasi manusia. Khususnya bagi penyakit Chikungunya dimana proses jangkitan lebih banyak berlaku di kawasan luar bandar kerana faktor habitat nyamuk vektor Aedes albopictus ini lebih tertumpu kepada kawasan pembiakan semulajadi seperti lubang-lubang pokok. Dan perlu diingat nyamuk Aedes aktif pada waktu siang dan juga malam terutamanya pada waktu puncak 6.00 pagi dan 6.00 petang. Dengan cara perilaku nyamuk betina Aedes yang akan mengigit lebih daripada seorang semasa tempoh ‘blood-feeding’ akan menyebabkan proses jangkitan lebih mudah tersebar dengan cepat dan meluas. Malah dengan keadaan cuaca hujan panas tropika di Malaysia menyebabkan tempoh kitar hidup nyamuk menjadi lebih pendek disebabkan proses pembiakannya berlaku dengan lebih cepat daripada biasa dan seterusnya meningkatkan bilangan populasi nyamuk.

Bagaimanakah untuk mengelakkannya?

 Seperti mana Demam Denggi ataupun Zika, penyakit Chikungunya juga masih belum mempunyai sebarang vaksin sehingga ke hari ini. Selain mempunyai simptom yang agak sama dengan Demam Denggi, cara kawalannya juga sama disebabkan mempunyai nyamuk vektor yang sama seperti menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes, menggunakan penghalau nyamuk ataupun ‘repellent’, kawalan secara kimia dan juga kawalan secara biologi.

Kaedah Kawalan manakah yang paling berkesan?

 PEKA! PEKA! Semua harus sedia maklum, hanya kaedah kawalan yang optimum dan berterusan SAHAJA yang paling berkesan. Memerangi masalah penyakit berjangkit bawaan nyamuk bukan sahaja tanggungjawab Kementerian Kesihatan Malaysia tetapi memerlukan kerjasama kuat daripada semua pihak dan diantara langkah-langkah yang anda sendiri boleh lakukan:

  1. Tidak kira apapun jenama produk yang digunakan, anda perlu tahu dan membaca cara penggunaannya. Jangan sesekali samakan penggunaan serta kebersanan Spray A dengan Spray B, ini disebabkan setiap jenama/produk mempunyai bahan aktif yang berbeza dan bertindak dengan cara yang berbeza.
  2. Sekiranya anda berasa tidak sihat, cuba ingat tempat terakhir yang anda lawati sekiranya kawasan tersebut merupakan kawasan “hot-spot” seperti Hatyai ataupun sebarang kawasan yang telah dilaporkan terdapat kes jangkitan, terus dapatkan rawatan dan nasihat daripada doktor perubatan. Sekiranya anda disyaki dijangkiti, TOLONG KUARANTINKAN DIRI ANDA sehingga tempoh jangkitan berakhir termasuk ELAK DIGIGIT OLEH NYAMUK AEDES. Ingat, bukan hanya nyamuk sahaja yang bertindak sebagai pembawa tetapi manusia yang dijangkiti juga BOLEH!
  3. Jangan membazir wang dengan segala produk yang mendakwa dapat menyembuhkan penyakit Chikungunya! Sehingga ke hari ini masih belum ada sebarang bahan bukti. Pastikan diri anda senantiasa sihat supaya mendapat sistem imum badan yang kuat untuk melawan sebarang jenis virus! Rehat secukupnya…
  4. Dinasihatkan sekurang-kurangnya anda mempunyai ‘repellent’ dimana anda boleh letakkan dimana-mana bahagian anggota badan yang terdedah kepada gigitan nyamuk dan pastikan anda membaca cara penggunaannya dengan betul supaya lebih berkesan. Fahami berapa lama ‘repellent’ tersebut boleh bertahan dan gunakan semula sekiranya perlu.

-Ambil Tahu, Bertindak Selalu-

#mozzienerd

#inisainsbeb!

Sumber Gambar:

  1. Koleksi Peribadi Penulis
  2. Nsaa [CC BY-SA 3.0 (https://creativecommons.org/licenses/by-sa/3.0)], from Wikimedia Commons

Rujukan:

  1. Wong H.V., Chan Y.F., Sam IC., Sulaiman W.Y.W., Vythilingam I. (2016) Chikungunya Virus Infection of Aedes In: Chu J., Ang S. (eds) Chikungunya Virus. Methods in Molecular Biology, vol 1426. Humana Press, New York, NY.
  2. Caglioti, C; Lalle, E; Castilletti, C; Carletti, F; Capobianchi, MR; Bordi, L (July 2013). “Chikungunya virus infection: an overview”. The New Microbiologica36(3): 211–27.
  3. Vanlandingham DL, Hong C, Klingler K, Tsetsarkin K, McElroy KL, Powers AM, Lehane MJ, Higgs S (2005). “Differential infectivities of o’nyong-nyong and chikungunya virus isolates in Anopheles gambiae and Aedes aegypti mosquitoes”. Am J Trop Med Hyg. 72 (5): 616–21.
  4. World Health Organization (1975) Manual on practical entomology in malaria, parts I and II. World Health Organization Part II. pp 88–111.

 

Pin It on Pinterest

Share This

Share This

Share this post with your friends!