Kita semua tersentak dan bersedih dengan satu kejadian bunuh di bulan Syawal 2018. Seorang ibu muda yang disyaki kemurungan telah bertindak kejam dengan mengelar anaknya sendiri. Pastinya ramai yang tertanya – tanya apa sebenarnya yang telah berlaku? Mengapa ibu itu bertindak kejam? Bagaimanakah untuk mengelak dari kejadian seperti ini berulang?

Terlebih dahulu perlu diingatkan bahawa maklumat yang diperolehi dari media massa pada ketika artikel ini ditulis adalah sangat terhad. Untuk membuat kesimpulan atau diagnosis yang tepat, pihak doktor perlu mendapat maklumat dan sejarah lengkap dari ibu, suami dan keluarga mereka mengenai kesihatan mental ibu. Ini termasuklah tempoh dan simptom – simptom yang dialami, dan juga faktor – faktor lain seperti pengaruh sosial dan ekonomi keluarga. Apa yang pasti, tiada ibu yang waras sanggup membunuh anaknya sendiri. Namun berdasarkan maklumat ringkas yang dinyatakan oleh bapa mangsa, si ibu dikatakan mengalami masalah kemurungan dan halusinasi.

Apakah itu halusinasi?

Halusinasi bermaksud seseorang itu mendengar atau melihat sesuatu yang sebenarnya tidak wujud. Contohnya mendengar suara atau bisikan ghaib, atau melihat kelibat atau sosok asing. Di dalam masyarakat Melayu, kita sering mengaitkan kejadian ini sebagai gangguan syaitan dan masalah dirasuk sesuatu.

Berbalik kepada bidang psikiatri, masalah kemurungan dan halusinasi berkemungkinan besar adalah kemurungan peringkat teruk (major depression) bersama psikosis. Psikosis bermakna seseorang itu tidak berpijak di alam realiti dan mendengar atau melihat sesuatu yang tidak wujud. Halusinasi adalah salah satu contoh psikosis. Walaubagaimanapun bentuk halusinasi yang sering dikaitkan dengan kemurungan adalah seperti selalu mendengar bisikan yang mengkritik atau melihat kelibat yang aneh dan cenderung melukakan diri sendiri. Jarang masalah kemurungan semata boleh mengakibatkan penderitanya membunuh insan lain seperti kes ini.

Bagaimana pula dengan Skizofrenia?

Kemungkinan yang lain adalah penyakit skizofrenia. Penyakit ini adalah sejenis penyakit gangguan mental yang teruk dan berpanjangan. Ia mempengaruhi cara seseorang itu berfikir dan mengubah perilaku dan perasaannya. Pesakit skizofrenia seolah tidak berada di alam nyata. Antara simptom penyakit ini adalah halusinasi, delusi (anggapan atau kepercayaan seseorang yang pelik tapi sukar diubah, contohnya percaya bahawa makhluk asing ingin menculiknya). Kemurungan juga adalah salah satu simptom bagi penyakit skizofrenia.

Kemungkinan Meroyan?

Satu lagi kemungkinan adalah penyakit yang dikenali sebagai Post Partum Depression (PPD), memandangkan anaknya baru berusia 19 bulan. Si ibu mungkin mengalami PPD ketika di awal kelahiran anak bongsunya namun tidak dikesan lebih awal yang mengakibatkan penyakit itu berlarutan sehingga menjadi parah. Keadaan PPD yang parah boleh mengakibatkan pesakitnya mengalami psikosis (Postpartum Psychosis). Orang Melayu memanggil penyakit ini sebagai Gila Meroyan.

Diskusi

Mengapakah penyakit – penyakit ini boleh menyebabkan ibu membunuh anaknya sendiri? Sebenarnya sukar untuk mendapat jawapan yang pasti. Didapati gangguan mental dari segi cara pemikiran dan emosi turut memainkan peranan dalam isu ini. Mereka tidak dapat berfikir dengan waras dan tidak dapat membezakan antara tindakan yang betul berbanding yang salah. Perubahan hormon selepas kelahiran juga merupakan salah satu faktor jika ibu berkenaan disahkan mengalami Postpartum Psychosis.

Berdasarkan klasifikasi oleh Resnick, beliau membahagikan motif pembunuhan anak kepada 5 kategori:
1. Altruistik – tindakan ‘membantu’ insan lain tanpa sebarang ganjaran kepada diri sendiri. Mereka membunuh anak kerana merasakan itulah tindakan yang terbaik untuk kesejahteraan anak mereka.

2. Psikosis akut – mereka membunuh anak tanpa sebarang motif yang rasional

3. Anak yang tidak diingini – mereka membunuh anak tersebut kerana menganggap anak itu sebagai gangguan hidup

4. Membunuh tanpa sengaja – ini biasanya dikaitkan dengan ibu atau bapa yang sering mendera anak sendiri

5. Membalas dendam terhadap pasangan – ibu tersebut membunuh anaknya kerana ingin membalas dendam terhadap suami, agar suami merasai penderitaan kehilangan anak.

Bagaimanakah untuk mencegah kejadian bunuh anak ini? Yang paling penting adalah untuk mengenalpasti masalah ini di peringkat awal dan mendapatkan rawatan secepat mungkin. Adalah mustahak untuk mendapatkan rawatan di hospital di mana doktor yang bertauliah akan menilai keadaan pesakit dan memberikan ubat – ubatan yang sesuai untuk mengurangkan simptom pesakit. Terdapat juga rawatan berbentuk nasihat kaunseling kepada pesakit dan keluarga terdekat beliau. Mereka perlu mendapat sokongan dari sekeliling. Punca stres perlulah dikenalpasti dan cuba dielakkan sebaik mungkin.

Dikatakan bahawa si suami berusaha membawa isterinya mendapat rawatan Islam. Kita tidak menghalang usaha ini namun kita juga ingin menasihati bahawa janganlah sehingga lambat mendapat rawatan di hospital. Rawatan secara holistik dan menyeluruh adalah yang terbaik. Kita tidak nafikan kepentingan rawatan secara spiritual di dalam kes sebegini. Namun elok sekiranya mencari ustaz yang benar – benar alim dan warak dan elakkan dari mendapatkan rawatan dari bomoh ataupun pawang yang mungkin membawa kepada syirik.

Kesimpulan

Elakkan menuding jari kepada si ibu mahupun si bapa. Kita tidak tahu apakah masalah mereka. Keluarga yang terdekat perlu bertindak pantas dan abaikan stigma bahawa rawatan psikiatri hanyalah untuk pesakit gila. Ini adalah tidak benar sama sekali. Semoga masyarakat kita lebih cakna dengan isu sebegini dan bertindak awal untuk mendapatkan rawatan yang sebaiknya.

#aurora

Rujukan:

1. Flynn SM, Shaw JJ, Abel KM (2013) Filicide: Mental Illness in Those Who Kill Their Children. PLoS ONE 8(4): e58981. https://doi.org/10.1371/journal.pone.0058981

2. Irmak, M.K. J Relig Health (2014) 53: 773. Schizophrenia or Possession? https://doi.org/10.1007/s10943-012-9673-y

3. Resnick PJ. Child murder by parents: A psychiatric review of filicide. Am J Psychiatry. 1970;126:325–34

4. Pautan kepada artikel asal di Facebook 

5. Pautan dalaman “Ubat Kemurungan”

Kredit imej asal: Kat Jayne

Pin It on Pinterest

Share This

Share This

Share this post with your friends!