Risau tentang keselamatan rumah menjelang musim perayaan dan cuti sekolah? Anda tidak keseorangan. Dalam siri ini, kami kongsikan beberapa tips menjaga keselamatan rumah ketika bercuti. Walaupun sebenarnya tidak ada satu sistem yang 100% berkesan dalam menghalang rumah dari dipecah, tetapi ada banyak strategi yang kita boleh gunakan bagi mengurangkan risikonya. Mari fahami psikologi pencuri itu dahulu.

Pencuri perlu memilih mangsa yang sesuai bagi mendapatkan pulangan terbaik dengan risiko terendah. Contohnya, mereka akan mengelak dari mensasarkan rumah yang ada anjing atau yang ada penggera keselamatan, terutamanya jika mereka tidak pasti bentuk pulangan yang mungkin diperolehi. Kalau ada dua rumah yang nampak sama mewah, mereka akan memilih yang tak ada anjing atau tak ada penggera/kamera keselamatan.

Sebelum kita membincangkan tips-tipsnya, kita lihat dulu definisi di bawah:

Definisi pencuri: orang yang mengambil harta seseorang tanpa izin secara senyap atau tersembunyi.

Definisi perompak: orang yang menggunakan kekerasan untuk merampas harta seseorang tanpa izin secara terang-terangan.

Tips 1: Jangan Jadi Sasaran

Memanglah tak ada siapa nak jadi sasaran. Tapi bagaimana? Ini merupakan perancangan jangka panjang. Kita perlu memahami psikologi pencuri. Mereka akan sentiasa mensasarkan mangsa yang paling mudah dengan pulangan paling lumayan. Mereka akan mengelak dari mensasarkan mangsa yang mempunyai kelengkapan dan persediaan untuk menyusahkan mereka, kecuali kalau betul-betul terdesak. Hanya pencuri profesional atau tegar sahaja yang akan mempunyai keazaman untuk memecah masuk sesebuah rumah yang tinggi tahap keselamatannya.

TAK KENAL MAKA TAK CINTA; TAK NAMPAK MAKA TAK MINAT.

Falsafah di atas kerap saya gunakan ketika mengajar rekabentuk rumah yang menekankan keselamatan pasif. Lagi banyak benda yang orang luar nampak, lagi mudah ia menarik minat orang-orang yang tak berkenaan. Kalau rumah kita ada dua buah kereta mewah, dengan sistem audio kualiti tinggi berdentum-dentam dari dalam rumah, hinggalah kepada jumlah kompressor pendingin hawa serta panel solar – semua ini memberi gambaran kemungkinan kemewahan yang kita ada.

Pastikan kita tak menayang barang-barang yang mungkin menarik minat pencuri. Walaupun basikal murah di porch, ia mungkin menarik minat budak-budak nakal. Dan ketika mereka berada di porch, mereka mungkin boleh meninjau barang-barang di dalam rumah. Saya cadangkan guna langsir tebal atau lapisan cermin gelap (tint) bagi menghalang penglihatan ke dalam rumah.

Tips 2: Gunakan Timer Switch

Salah satu teknik untuk mengelirukan pencuri adalah dengan menggunakan timer switch (suis berpemasa) di rumah. Sekiranya lampu luar terbiar sepanjang waktu siang, ia cukup untuk memberitahu bahawa tiada siapa di rumah. Penggunaan lampu yang dipasang pada timer switch yang hanya akan menyala di waktu malam akan mengandaikan bahawa ada orang di rumah untuk menutup dan membuka lampu.

Contoh Timer Switch di pasaran

Kaedah ini juga boleh digunakan secara berkala di dalam rumah. Contohnya, kita set masa untuk lampu menyala di ruang tamu antara 7-11 malam. Kemudian di dapur antara 8-9 malam. Di bilik tidur antara 10 malam – 1 pagi. Sesekali lampu di bilik-bilik terbuka dan tertutup sepanjang malam. Memang leceh sikit, tapi ia mengandaikan ada orang tinggal di dalam rumah, bergerak dari satu bilik ke satu bilik.

Timer switch ini boleh didapati dengan mudah di pasaran. Malah saya ada jumpa timer switch yang datang sekali dengan lampunya di pasar malam. Anggaran harga antara RM10-RM15 untuk analog, dan RM40 ke atas untuk digital.

Tips 3: Biarkan Selipar Bersepah

Membiarkan selipar bersepah di hadapan rumah mungkin bukan sesuatu yang kita amalkan. Terutamanya kalau kita ni jenis yang pengemas dan pantang tengok barang bersepah. Kenapa ini boleh membantu meningkatkan keselamatan rumah?

Tapi tak payahlah sampai bertimbun!

Seperti yang disebut di atas, apabila bakal pencuri membuat tinjauan awal, mereka akan mencari petunjuk bahawa rumah itu tidak berpenghuni. Bagi sesiapa yang lalu sekali imbas, kasut dan selipar yang bersepah di depan pintu mengandaikan bahawa tuan rumah mungkin berada di rumah, atau sekurang-kurangnya hanya keluar seketika.

Namun begitu, taktik ini boleh memakan diri sekiranya selipar tersebut terbiar terlalu lama. Ini menandakan tuan rumah meninggalkan rumah secara tergesa-gesa, seperti menziarah keluarga sakit atau ditimpa kecelakaan di tempat lain. Yang penting, rancang awal-awal sebaik mungkin.

Lagi?

Kami akan kemaskini dengan tips-tips lanjut dalam bahagian seterusnya! Harap follow rapat-rapat!

Rujukan

Oscar Newman (1996) “Creating Defensible Space”, Institute for Community Design Analysis.

Paul Stollard (2003) “Crime Prevention through Housing Design”, E & N F Spon, London.

Pin It on Pinterest

Share This

Share This

Share this post with your friends!