Gambar oleh rawpixel di Unsplash

 

Kumpulan boleh diibaratkan seperti satu entiti yang hidup. Ia mempunyai nyawa, idea dan tindakan yang tersendiri. Bagaimana ini berlaku? Setiap dari ahli kumpulan memberikan nafas kepada entiti tersebut dengan melakukan sesuatu atas nama kumpulan itu.

 

Seringkali ia tidak menjadi masalah. Memang secara fitrahnya manusia hidup berkumpulan. Malah, identiti kita sendiri mempunyai elemen kumpulan. “Saya rakyat Malaysia,” contohnya. Pernyataan ini mengaitkan seseorang itu dengan satu kelompok yang khusus, iaitu penduduk sesebuah negara.

 

Namun, apabila kumpulan itu bermasalah, kadang-kala amat sukar untuk ahli kumpulan itu melihat akan kepincangan yang berlaku apatah lagi menyuarakan pendapat sendiri untuk membetulkan kesilapan yang jelas.

 

Perkara sebegini boleh membawa kepada fenomena “groupthink“, di mana satu keputusan yang dibuat oleh sesuatu kumpulan dipersetujui oleh semua ahli tanpa berfikir panjang. Akibatnya, tindakan rasional dan keputusan yang wajar ditolak tepi bagi memilih keputusan yang bersifat penyelesaian jangka pendek dan beremosi.

 

Groupthink” merupakan hasil daripada beberapa elemen songsang dalam cara berfikir. Antaranya adalah terlebih yakin dengan kebolehan kumpulan itu sendiri, minda yang tertutup dalam memikirkan jalan lain dan pengaruh sesama ahli dalam mencapai kata sepakat.

 

Jadi bagaimana seseorang ahli itu ingin melawan daya ini? Bukan mudah, lebih-lebih lagi apabila terdapat ramai yang menyokong keputusan kumpulan tanpa bantahan.

 

 

Namun, itulah yang sepatutnya dibuat. Dalam setiap kumpulan, perlunya seseorang itu mengambil peranan membantah keputusan majoriti (devil’s advocate). Peranan ini berfungsi untuk membuka minda mereka yang menyokong untuk berfikir secara kritis tentang keputusan yang ditetapkan. Kerapkali peranan ini dilihat sebagai bermasalah, suka cari gaduh dan seumpamanya. Walhal ia adalah penting bagi memastikan kelompok itu membuat keputusan yang memanfaatkan semua pihak.

 

Satu lagi cara adalah dengan bertanya tentang alternatif lain. Cara apa yang boleh digunakan untuk mencapai tujuan yang sama? Bagi ahli yang terperangkap dengan “groupthink”, persoalan sebegini mampu mengundang kemarahan. Label ‘banyak soal’, ‘banyak kerenah’ dan ‘pandai tanya je’ sering dilontarkan kepada mereka yang memegang peranan ini.

 

 

Amat sukar untuk seseorang itu bertanya dalam kumpulan yang menekankan kesepakatan antara ahli. Walaupun begitu, itu tidak bermakna seseorang itu patut berdiam diri sahaja apabila sedar akan kesilapan dalam keputusan yang dibuat. Teguran yang dibuat akan memberi peluang kepada kumpulan tersebut untuk memperbaiki kelemahan yang ada, sekaligus meningkatkan lagi mutu kumpulan itu.

 

Tinggalkan dewan pun ada sains, beb!

 

Rujukan:

Lunenburg, F. (2012). Devil’s advocacy and dialectical inquiry: Antidotes to groupthink. International Journal of Scholary Academic Intellectual Diversity14, 1-9.

Rose, J. D. (2011). Diverse perspectives on the groupthink theory–a literary review. Emerging Leadership Journeys4(1), 37-57.

Whyte, G. (2015). Groupthink. Wiley Encyclopedia of Management, 1-2.

 

Pin It on Pinterest

Share This

Share This

Share this post with your friends!