Sedang kami seronok membongkar (baca di sini) resipi cuka+garam yang kononnya boleh menyerap tenaga negatif dan menghalau jin, seorang pengamal mistik berkongsi beberapa fenomena yang beliau anggap misteri di page jiran, PW Community. Beliau mendakwa fenomena ini sebagai bukti kewujudan alam ghaib (dunia hantu).

Kami bukan menidakkan kewujudan fenomena ghaib, tetapi sebelum membuat kesimpulan bahawa sesuatu itu bersifat mistik, mari bincangkan dahulu rasional saintifik di sebaliknya. Beberapa fenomena yang disebutkan memang benar berlaku dan kami ingin menghuraikannya lebih lanjut di sini:

1. Bunyi guli di siling

Bunyi seperti guli melantun di siling, ditingkat atas atau di bilik sebelah merupakan fenomena yang menyeramkan terutamanya kalau kita seorang diri di rumah di waktu malam. Namun begitu, sains mempunyai huraian mudah berkenaan fenomena ini.

Sebenarnya ia adalah bunyi dentuman (shock) hidrolik di dalam sistem perpaipan di dalam rumah. Ia dikenali sebagai water hammer dan merupakan satu fenomena yang biasa berlaku di dalam bangunan tak kira waktu.

Water hammer berlaku apabila air yang mengalir deras dari kepala paip ditutup secara tiba-tiba. Ini menyebabkan momentum air yang bergerak tadi tersebar ke seluruh sistem paip. Variasi bunyi bergantung kepada jenis paip (besi, PVC, kuprum dsbnya) dan perletakkannya (tergantung, terlekat di struktur atau dinding, atau tertanam dalam dinding atau lantai).

2. Nasi mudah basi

Percayakah anda ada faktor tertentu yang boleh menyebabkan nasi mudah basi? Keadaan cuaca di Malaysia yang panas dengan kelembapan yang tinggi terutamanya di musim kemarau menyebabkan nasi lebih mudah basi.

Tambahan pula ada beberapa jenis beras  lebih mudah basi berbanding dengan jenis beras yang lain. Ini mungkin kerana  kandungan kanji dan air di dalam beras yang berbeza. Cara memasak dan keadaan periuk juga memainkan peranan di mana periuk nasi yang melengkung menyebabkan pemanasan yang tidak seragam. Oleh itu ada bahagian nasi yang sudah kering dan ada bahagian yang masih basah. Nasi yang basah lebih cepat basi dari nasi yang kering.

Beras yang belum dimasak boleh mengandungi spora bakteria Bacillus cereus yang mampu menahan haba tinggi ketika nasi dimasak.  Jika nasi dibiarkan di suhu bilik terlalu lama, bakteria ini boleh membiak dan menyebabkan nasi menjadi basi.  Tips terbaik untuk mengelakkan  nasi mudah basi adalah dengan menyimpan nasi di dalam peti sejuk. Selesai masalah!

3. Kancing gigi

Masalah kancing gigi atau juga dikenali sebagai Tetanus memang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja malah bayi dan warga emas juga boleh menjadi mangsa.  Ia disebabkan oleh sejenis bakteria yang dipanggil Clostridium tetani. Spora dari bakteria ini berada di mana – mana terutamanya di tanah, kawasan berdebu, besi berkarat dan di dalam najis. Contoh mudah apabila seseorang terpijak paku berkarat di perkarangan rumah, spora yang berada di paku itu boleh masuk ke dalam badan melalui luka dan bertukar menjadi bakteria C. tetani. Bakteria ini pula menghasilkan sejenis toksin yang sangat poten iaitu Tetanospasmin yang berupaya menyebabkan otot badan mengeras. Ia merupakan toksin kedua terkuat selepas toksin Botulinum.

Proses inkubasi atau tempoh pengeraman bakteria itu berlaku dalam tempoh 3 hingga 21 hari (biasanya dalam 10 hari) dari saat mangsa mendapat luka, bergantung kepada jenis luka dan jumlah spora yang masuk ke badan. Manifestasi penyakit ini agak menyeramkan, dengan keadaan keseluruhan badan mengeras dengan tiba – tiba, tidak mampu bercakap, gigi terkancing dan mulut menyeringai keras. Maka tidak hairanlah jika seseorang itu tiba – tiba saja mengalami kancing gigi dan mungkin sudah terlupa kisah kakinya yang terluka beberapa hari sebelum itu. Sebaliknya menyangka ianya disebabkan oleh gangguan jin atau hantu.

Bagi pihak doktor, penyakit ini dikategori sebagai satu kecemasan dan memerlukan rawatan yang segera. Jika anda mengalami keadaan ini cepat – cepatlah ke hospital kerana ia boleh melibatkan kehilangan nyawa.

4. Kepanasan dalam rumah

Dari  sudut perubatan, salah satu penerangan yang mungkin adalah apabila seseorang itu mengalami penyakit ‘Hyperthyroidism’ (hipertiroid) atau paras hormon tiroid meningkat di dalam darah.  Disebabkan peningkatan hormon tiroid (free T4 dan/atau freeT3 ), pesakit itu boleh mengalami keadaan berikut:

  • tidak tahan panas (heat intolerance)
  • perubahaan emosi (mood swing)
  • penurunan berat badan yang signifikan
  • berdebar – debar (palpitations)
  • haid tidak teratur dan lain-lain

Ramai pesakit mengadu yang mereka hairan mengapa merasa suasana menjadi panas sedangkan pasangan atau anak – anak merasa suhu biasa – biasa saja. Tambahan pula pesakit menjadi mudah marah (mood swing) terhadap perkara remeh – temeh yang mana sebelum ini pesakit tidak bersikap begitu. Rasa berdebar – debar ditambah pula dengan berat badan yang menurun pasti menyebabkan pesakit tertanya – tanya punca terjadinya sedemikian. Jika anda atau saudara terdekat ada mengalami masalah ini, segeralah membuat temujanji dengan doktor. Mereka sudah terlatih untuk mengenalpasti penyakit ini dan ianya boleh dikesan dengan pemeriksaan darah malah rawatannya juga berkesan.

Pada masa yang sama, kita juga boleh melihat fenomena ini dari perspektif sains bangunan. Kepanasan luar biasa di dalam rumah boleh diakibatkan dari kombinasi keadaan-keadaan tertentu seperti tidak cukup pengudaraan, kelembapan dalaman yang tinggi, kesan haba terpendam dan sebagainya.

Namun kesan ini seharusnya boleh dirasai oleh sesiapa yang berada di dalam rumah tersebut pada ketika itu. Ia boleh diukur dan dinilai menggunakan instrumen lantas membuktikan ia tidak disebabkan oleh elemen-elemen mistik.

Kesimpulan

Seperti disebut di atas, kami tidak menafikan kewujudan alam ghaib dan mistik. Tetapi kemajuan sains yang kita kecapi sekarang sudah banyak dapat menjelaskan fenomena-fenomena yang sebelum ini dianggap misteri oleh masyarakat terdahulu.

Kami menegaskan bahawa kita semua harus berhati-hati dari individu yang cuba mengambil kesempatan ke atas kealpaan kita. Terutamanya apabila kita kelihatan mudah percaya kepada benda-benda ghaib, mistik dan metafizikal. Banyakkan membaca, luaskan pengetahuan.

Ini sains, beb!

Wang, J., et al (2014), Effect of Temperatures on the growth, toxin production and heat resistance of Bacillus Cereus in Cooked Rice, Foodborne Pathogens and Disease, Vol 12 No. 2.

Fluidmaster (2018), How to fix water hammer or resonance causing loud noise, https://www.fluidmaster.com/toilet-problems/toilet-is-too-loud/

Woldeamanuel, Y.W. et al (2016), Case fatality of adult tetanus in Africa: Systematic review and meta-analysis. PubMed NCBi.

Ross, D.S. et al (2016), American Thyroid Association Guidelines for Diagnosis and Management of Hyperthyroidism and Other Causes of Thyrotoxicosis. PubMed NCBi.

Pin It on Pinterest

Share This

Share This

Share this post with your friends!