Sejak kebelakangan ini makin hangat pula isu wanita transgender dan LGBT (serta huruf-huruf seterusnya) diperkatakan di media sosial. Kalau anda pengguna media sosial, anda pasti akan ternampak atau terbaca berkenaan dakwaan seorang wanita transgender telah merogol seorang gadis di dalam tandas.

Bagi menguatkan hujah, maka ada segelintir manusia tak bertanggungjawab menokok-tambah serta mengubahsuai berita tersebut bagi menghangatkan lagi suasana. Ikuti kupasan kami tentang fakta dan kepalsuan dalam berita tersebut.

Fakta:

Kes ini berlaku di Wyoming, Amerika Syarikat dalam bulan Mac 2017. Individu bernama Miguel Martinez yang fitrahnya seorang lelaki tetapi beridentitikan wanita (transgender) menggunakan nama Michelle telah merogol seorang budak perempuan berumur 10 tahun di dalam bilik mandi di rumah.

Susulan dari kes tersebut, Miguel (Michelle) Martinez telah disabitkan dengan kesalahan tersebut dalam perbicaraan dalam bulan Oktober 2017 dan diberitakan sedang menanti hukuman dijatuhkan antara 25 hingga 70 tahun penjara.

Perbincangan:

Dalam kes ini, beberapa aspek perlu diketengahkan:

  1. Ia tidak berlaku di tandas awam, tetapi di rumah budak perempuan tersebut;
  2. Perogol bukan orang asing kepada budak perempuan tersebut, malah mengenali keluarganya;
  3. Perogol bukan menyamar menjadi wanita dan menyorok di dalam tandas awam untuk mencari mangsa.

Di sini, kes di atas telah digunakan untuk menakut-nakutkan orang awam serta menyemai prejudis terhadap golongan tertentu. Pada hakikatnya, cabul/rogol kanak-kanak boleh berlaku di mana-mana sahaja, terutamanya  oleh individu yang dikenali dan di tempat yang kebiasaannya selamat bagi kanak-kanak tersebut.

Hanya kerana kes ini dilakukan oleh seorang wanita transgender di dalam bilik mandi, ianya digunakan bagi menempelak dan menghentam Datuk Dr Mujahid Yusuf yang tersasul kata. Bilik mandi dan tandas awam adalah dua ruang yang berbeza, ya kawan-kawan!

Isu tandas transgender memang agak rumit dan tidak terhad di Malaysia sahaja. Sebagai pensyarah arkitek, saya juga angkat tangan bila ditanya bagaimana nak menyelesaikan masalah ini. Selalunya jawab saya, sediakan jamban mudah alih ajelah!

Contoh jamban mudah alih

Sungguhpun begitu, kami bersetuju bahawa wujudnya isu keselamatan apabila tandas wanita boleh dimasuki oleh lelaki yang menyamar sebagai wanita. Janganlah kita kaitkan isu yang sipi-sipi atau bau-bau bacang yang ditangkap muat semata-mata nak menguatkan pendirian masing-masing.

Sebagai page berasaskan sains, kami memahami dan menghormati pegangan agama dan cuba bersikap adil dan berpegang kepada fakta-fakta sains. Cuma apabila terlihat keghairahan sesetengah pihak untuk menghukum dengan rencah-rencah buatan, kami terpanggil untuk menegur perbuatan tersebut.

Fakta adalah fakta, fitnah adalah fitnah, dan ini adalah sains, beb!

Rujukan dan bacaan tambahan:

Snopes.com (2017), Was a transgender woman convicted of sexually assaulting a young girl in a bathroom? – Snopes

The Daily Caller (2017), Transgender person on trial for sexually assaulting 10-year-old girl in bathroom. thedailycaller.com

Cisplatin (2018), Abang PONDAN ke?, inisainsbeb.com

Pin It on Pinterest

Share This

Share This

Share this post with your friends!