Pada 8 Disember lepas, satu perhimpunan berskala besar telah diadakan di Kuala Lumpur. Malaysia telah maju selangkah lagi ke arah sebuah negara demokrasi yang mana rakyatnya semakin matang dan mampu mengutarakan suara secara beramai-ramai tanpa ancaman dari pihak berkuasa.

Berdasarkan liputan yang dibuat, kita mula membaca ulasan-ulasan media tentang perhimpunan tersebut. Satu perkara yang menarik perhatian kami adalah berkenaan penganggaran jumlah peserta yang mengikuti perhimpunan tersebut.

FMT News meletakkan anggaran 30,000 orang peserta. The Star melaporkan pihak polis menganggar penglibatan lebih kurang 55,000 orang  peserta. Utusan Online pula menganggar 300,000 orang. Harakah Daily melaporkan ada anggaran (sumber tak dijelaskan) sehingga 1.5 juta orang!

Bagaimanakah anggaran ni dibuat?

Ada beberapa kaedah yang biasanya digunakan. Yang pasti, kita tak main congak buta2 aje. Antara kaedah yang paling banyak digunakan ialah Kaedah Jacobs, yang dipelopori oleh Herbert Jacobs, seorang profesor dalam bidang kewartawanan di UC Berkeley.

Kaedah beliau bersandarkan kepada grid yang dijadikan rujukan untuk mencari luas sesuatu kawasan. Beliau menggunakan dua nilai anggaran:

  1. Kepadatan Mosh-pit, yang mana menganggarkan setiap orang berdiri tegak rapat-rapat. Dalam keadaan ini, seorang manusia dewasa merangkumi tapak seluas 2.5 kaki persegi (kps). Dalam keadaan ini, kita tak ada ruang yang selesa untuk bergerak. Nak angkat tangan pun akan tersiku orang sebelah.
  2. Perhimpunan Selesa, yang mana setiap orang mempunya ruang yang selesa dan boleh duduk bersila. Dalam keadaan ini, dianggarkan seorang manusia dewasa merangkumi 4.5 kps.

Berdasarkan dua nilai anggaran ini, Jacobs boleh menganggar jumlah orang yang berhimpun dengan mengukur luas sesuatu kawasan. Ia boleh disandarkan kepada foto kawasan tersebut, yang mana dimensi ruang diukur mengikut rujukan seperti lebar jalan, jarak dari tiang ke tiang, jarak antara bangunan dan sebagainya.

Memahami Kaedah Jacobs

Contoh tapak 3 lot tempat letak kereta berukuran 7.5m x 5m

Jom cuba guna kaedah anggaran beliau. Kita guna contoh yang mudah. Gambarajah di atas menunjukkan 3 lot tempat letak kereta yang standard (2.5m x 5m setiap satu). Apabila keluasan keseluruhan dapat ditentukan, kita dapat menganggar jumlah orang yang datang berhimpun.

Anggaran Kepadatan Mosh-pit (2.5kps setiap individu)
Anggaran Perhimpunan Selesa (4.5kps setiap individu)

Mosh-pit 8×19 = 152 orang
Selesa 6×15 = 90 orang

Aplikasi Kaedah Jacobs menggunakan contoh gambar Perhimpunan Bantah ICERD

Mari kita cuba aplikasikan Kaedah Jacobs ni menggunakan contoh yang sebenar. Saya meminjam sebuah foto oleh PendekarSeni Photography yang dikongsi di akaun Facebook Ustaz Ebit Lew.

Perhimpunan Bantah ICERD di Dataran Merdeka. Foto oleh Pendekarseni Photography, diambil dari page Ebit Liew.

Menggunakan software SketchUp, saya cari lokasi gambar tersebut. Lebih kurang macam Google Maps, cuma lagi senang nak buat ukuran kerana gambar ini mempunyai skala. Jadi dengan membuat tekapan kawasan yang dipenuhi manusia berdasarkan rujukan gambar tersebut, saya dapat menganggar luas kawasan yang liputi manusia. Di sini saya bahagikan kepada dua kawasan: Iaitu kawasan merah (sesak) dan kawasan biru (kurang sesak).

Foto berskala dari Google Maps

Kawasan merah = 9077.61m2 (97,710 kps)
Kawasan biru = 2483.96m2 + 162.57m2 = 2646.53m2 (28,487 kps)


Kawasan merah/biru ini bukan dibahagikan mengikut kaedah Jacobs, kerana kepadatannya tak sama pada pengamatan saya. Pengiraan kawasan biru akan dikurangkan separuh.

Menggunakan kaedah Jacobs, saya menganggarkan jumlah manusia di dalam gambar tersebut sebagai:
Kawasan merah = 97,710 kps / 4.5 kps = 21,713 orang
Kawasan biru = 28,387 kps / 4.5 kps = 6,330 orang
Jumlah anggaran = 28,043 orang (atau 28,000 orang).

Saya tidak menggunakan kaedah pengiraan Mosh-pit kerana kelihatan perhimpunan ini tidak terlalu sesak. Malah, untuk menggunakan kaedah pengiraan Selesa pun mungkin tak sesuai, menyebabkan saya memperkenalkan kawasan biru itu dan membuat anggaran sendiri.

Perbincangan

Di sini, anggaran 28,000 orang itu mungkin agak tinggi. Oleh kerana kejituan tidak ditekankan, jadi bergantung kepada penulis artikel masing-masing untuk membuat rumusan yang sesuai.

Bagi pengulas yang cenderung menyokong perhimpunan ini, akan meletakkan anggaran antara 28,000 – 30,000 orang. Sementara penentang perhimpunan ini akan meletakkan jumlah yang lebih rendah dari 25,000. Pada saya, sekiranya satu-satunya rujukan yang saya ada ialah gambar perhimpunan di atas, kemungkinan saya akan meletakkan jumlah peserta lingkungan 25,000 orang kerana kepadatan yang tidak konsisten.

Di akhir kata, selepas melihat gambar-gambar dan video-video yang dikongsikan di media sosial, saya berpendapat anggaran yang dikemukakan pihak polis sekitar 55,000 mungkin agak konservatif. Mungkin boleh mencecah 100,000 orang pada waktu puncak.

Tetapi tak mungkin mencapai 1.5 juta manusia seperti dakwaan sesetengah pihak. Menggunakan Kaedah Jacobs, kita memerlukan kawasan seluas lebih 418,000m2 untuk memuatkan 1 juta orang dewasa berdiri, dan itu tak termasuk bangunan, longkang, sungai, landskap dan sebagainya. Rajah di bawah menunjukkan kawasan yang diperlukan untuk memuatkan 1 juta orang, tanpa mengambil kira bentuk muka bumi, bangunan dan sebagainya. Bayangkanlah sendiri.

Rujukan

  1. Marshall, Jason (2017) “The Simple Math behind Crunching the Sizes of Crowds”, Scientifc American.
  2. Goodier, Rob (2011), “The Curious Science of Counting a Crowd“, Popular Mechanics.
  3. Facebook Post oleh Ust Ebit Lew  

Pin It on Pinterest

Share This

Share This

Share this post with your friends!