“Child grooming” atau antun seksual terhadap kanak-kanak boleh dilakukan melalui Internet pada masa kini. Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi dalam talian, “child grooming”  dihuraikan sebagai aktiviti jenayah yang menjadikan kanak-kanak sebagai rakan, khususnya melalui Internet dengan tujuan untuk memujuk mereka supaya menjalinkan hubungan seksual.

Ketahuilah bahawa terdapat beberapa strategi dalam proses mengantun seksual terhadap kanak-kanak. Pendedahan ini mempunyai  dua perspektif yang sangat berbeza dan terpaksa ditulis demi pengetahuan anda agar perkara tidak diingini seperti kes rogol ke atas kanak-kanak dapat dielakkan.

Strategi antunan seksual

Pertama sekali, harus diketahui bahawa kanak-kanak yang mempunyai akaun media sosial sentiasa diperhatikan oleh orang dewasa. Terutamanya kepada yang jenis menggedik dan kerap menayangkan gambar fotogenik (baca: fotogedik) mereka. Pemangsa akan cuba untuk menarik perhatian mangsa secara halus. Mungkin sebagai permulaan dengan hanya menyebut “hai”, “comelnya!” pada pos-pos gambar yang umum. Lontaran kata ini biasa-biasa sahaja pada awalnya. Proses ini mengambil masa yang lama (walaupun tidak berapa lama) dan penuh teliti. Semestinya mangsa menganggap bahawa biasalah sekali-sekala orang yang tidak dikenali menegur. Kita kan comel. Orang tu pun hanya cakap ‘hai’ sahaja.

Baiklah. Langkah kedua, jadi kawan. “Friend request accepted.” Biasalah orang luar yang kerap tegur kita. Lama-lama dia minta nak jadi kawan la kan? Di sini, kepercayaan mangsa kepada pemangsa sudah terbit sedikit. Walaupun tidak dikenali, namun kita percaya dia (menurut kata hati mangsa). Pemangsa pula cuba memperkenalkan beberapa perkataan lucah yang lembut seperti, ‘geram-geram’, ‘gebu’, ‘mugil’, ‘montok’ dan sebagainya. Objektifnya adalah untuk membiasakan mangsa “dirty talk” secara sambalewa.

Ilustrasi pasangan manis ini juga mampu merangsang keinginan lain

Fasa seterusnya adalah menerbitkan perasaan rindu, cumbu, pujuk rayu dengan berkongsi gambar-gambar dan video separa lucah pada adegan-adegan tertentu. Tidak keterlaluan, tetapi mula menerapkan keinginan hubungan yang lebih intim seperti berpelukan dan bercumbu walaupun tidak untuk seksual. Kononnya masih ada batasan. Tidak dinafikan, terdapat juga permainan di Internet yang mempunyai ilustrasi separa lucah dan boleh mencetus keinginan seksual secara semulajadi. Pemangsa akan memanipulasi peluang sedia ada dan sedaya upaya mengajak atau memperkenalkan permainan sedemikian di dalam talian.

Fasa terakhir adalah apabila kepercayaan penuh telahpun diberikan kepada pemangsa. Setelah lama berkenalan, mangsa mungkin dijemput keluar bertemu di suatu tempat yang terbuka. Buat permulaan mungkin bersama kawan-kawan. Tidak berbicara soal perasaan namun mampu menimbulkan rasa rindu ingin bertemu lagi. Seterusnya, pertemuan boleh jadi lebih tertutup, tidak diketahui, tanpa teman dan cenderung ke arah berlakunya hubungan seksual. Pada tahap ini, mangsa sudah tentu tidak mampu membuka mulut untuk melaporkan kecelakaan yang menimpa dirinya. Kepercayaan yang diletakkan kepada pemangsa selama ini sudah memakan dirinya. Mangsa mungkin terus hanyut dengan kehendak pemangsa pada bila-bila masa dan keadaan ini boleh berakhir dengan tragedi yang tidak diingini.

Carta alir teknik antunan seksual (adaptasi dari Quayle et al., 2014)

Tawaran pekerjaan sebagai model

Dengan kecanggihan teknologi Internet masa kini, peluang orang dewasa mewujudkan hubungan dengan kanak-kanak untuk eksploitasi seks sangat terbuka luas. Terdapat juga kes remaja berusia 13 hingga 17 tahun yang ditawarkan pekerjaan model sambilan melalui iklan sisipan atau mesej viral. Mereka juga dipilih berdasarkan gambar-gambar yang mereka kongsi di media sosial. Testimoni model sebelum ini yang kononnya mendapat hasil lumayan dijadikan sebagai umpan. Mangsa terpengaruh dan rela mengambil gambar diri sendiri separa bogel dengan aksi tertentu untuk sesi uji bakat dalam talian sebelum layak dipanggil ke studio. Apabila dijemput ke studio, mereka akan diminta untuk melakukan seks oral atau lain-lain aksi seksual. Khuatir dirinya dicederakan oleh orang yang lebih dewasa, mangsa terpaksa menurut sahaja segala kemahuan pemangsa.

Melalui pendedahan ini, penggunaan Internet oleh kanak-kanak mestilah dihadkan oleh orang dewasa. Pemasangan “spyware” untuk mengintip aktiviti Internet anak adalah sangat digalakkan demi keselamatan mereka sebelum terlambat. Kebarangkalian kanak-kanak masa kini terjerat dengan antunan seksual melalui Internet adalah sangat tinggi. Kes antun seksual dalam talian yang dilaporkan di luar negara adalah sangat banyak. Keadaan yang sama mungkin berlaku di Malaysia walaupun statistiknya tidak didedahkan lagi. Semoga anak-anak kita sentiasa dilindungi daripada ancaman seperti ini.

Rujukan:

Shannon, D. (2008). Online sexual grooming in Sweden—Online and offline sex offences against children as described in Swedish police data. Journal of Scandinavian Studies in Criminology and Crime Prevention9(2), 160-180.

Quayle, E., Allegro, S., Hutton, L., Sheath, M., & Lööf, L. (2014). Rapid skill acquisition and online sexual grooming of children. Computers in Human Behavior39, 368-375.

Quayle, E., & Newman, E. (2015). The role of sexual images in online and offline sexual behaviour with minors. Current psychiatry reports17(6), 43.

*Imej disediakan oleh Tuan Adifitri Ahmad.