Lahir sebagai Merfat Ibrahim, beliau dibesarkan seperti kanak-kanak perempuan yang lain. Beliau dilahirkan dalam keluarga muslim Bangsamoro di Cotabato City, sebuah wilayah autonomi muslim Mindanao, Filipina.

Merfat Ibrahim menjalani hidup normal sebagai kanak-kanak perempuan sehinggalah beliau menginjak usia baligh. Beliau mempunyai perasaan terhadap perempuan dan menyangkakan dirinya adalah lesbian. Namun, didikan agama yang kuat menegah beliau melakukan sesuatu yang bersalahan dengan agama.

Walaupun begitu, fizikal beliau makin menunjukkan ciri-ciri sekunder lelaki: mempunyai tona suara yang dalam dan garau, memiliki bulu muka dan fizikal yang maskulin.

Tanda-tanya yang menyelubungi hidupnya terjawab apabila beliau menjalani ujian kesihatan untuk kemasukan kolej kejururawatan. Beliau menjalani ujian karyotip setelah didapati mempunyai perkembangan sekunder wanita yang ketinggalan, tanpa pertumbuhan payudara dan haid.

Beliau didapati mempunyai kromosom XY, sepatutnya lelaki. Namun, beliau dilahirkan tanpa genitalia luaran seperti lelaki normal. Keadaan ini digelar pseudo hermaphroditism (sebenarnya istilah ini tidak lagi digunapakai).

Keadaan ini, seperti Hanne Gaby Odiele yang diceritakan disini, menyebabkan seseorang itu mempunyai genitalia luaran yang tidak sama dengan genetiknya.

BAGAIMANA BELIAU BOLEH KELIHATAN SEPERTI PEREMPUAN SEBAHAGIAN HAYAT

Terdapat pelbagai keadaan yang mendorong keadaan ini. Termasuklah keadaan androgen insensitivuty syndrome (AIS) yang menyebabkan s l tubuh beliau tidak respon terhadap hormon testosteron.

Terdapat juga keadaan dimana tubuh seseorang tidak mempunyai cukup enzim 5-alpha reductase (5ARD). Enzim ini memangkin penghasilan dihydrotestosterone yang lebih poten dari testosteron bagi mengaruh ciri maskulin.

Masalah ini berlaku akibat berlakunya mutasi pada gen yang mengekod enzim 5-alpha reductase type II. Individu yang dilahirkan dengan mutasi gen ini kemungkinan tidak mengalami sebarang keanehan pada rupabentuk genital luaran mereka.

Terdapat juga yang dilahirkan dengan genital yang tidak sempurna atau mempunyai genitalia perempuan.

Apabila proses aqil baligh bermula, kehadiran testosteron yang tinggi (secara hipotesisnya) dapat menangani keadaan kekurangan enzim 5-alpha reductase tersebut. Jadi, ciri maskulin dan virilisasi mula kelihatan. Mereka yang mempunyai kondisi ini mampu hidup secara normal sebagai lelaki biasa.

Maher Ibrahim memilih untuk menjadi lelaki seperti genetiknya. Kini, beliau kelihatan maskulin dan kelelakian. Melihat sifat luarannya, tiada siapa yang menyangka beliau pernah hidup sebagai wanita!

RUJUKAN

Praveen, EP; Praveen EP; Desai AK; Khurana ML; Philip J; Eunice M; Khadgawat R; Kulshreshtha B; Kucheria K; Gupta DK; Seith A; Ammini AC. (February 2008). “Gender identity of children and young adults with 5alpha-reductase deficiency”. J Pediatr Endocrinol Metab. (2nd ed.). 21 (2): 173–179. PMID 18422030

Imperato-McGinley J, Miller M, Wilson JD, Peterson RE, Shackleton C, Gajdusek DC (Apr 1991). “A cluster of male pseudohermaphrodites with 5 alpha-reductase deficiency in Papua New Guinea”. Clin Endocrinol. 34 (4): 293–8. doi:10.1111/j.1365-2265.1991.tb03769.x