Mungkin ramai yang menggeliat kegelian melihatnya (termasuk saya!), namun Ball Python nampaknya semakin mendapat tempat dan perhatian untuk dijadikan haiwan kesayangan di Malaysia.

Ball Python atau nama saintifiknya Python Regius adalah sejenis ular yang kita gelar sebagai ular sawa yang tidak berbisa. Spesis ular ini bukanlah natif tempatan, ia biasanya hidup di kawasan sub sahara benua Afrika.

 

Image result for ball python

Imej xyzReptiles

Ball Python bukan hanya digemari kerana sifatnya yang ‘manja’ dan tidak bersifat ganas, ia juga dikenali dengan pelbagai corak menarik di tubuhnya. Sejak pertengahan era 1990an dimana Ball Python mula dikenali, banyak corak dan rupa kulit haiwan ini (digelar morph) dihasilkan akibat cuba-jaya (pembela dan penternak) mendapatkan variasi baru.

Malangnya, tidak banyak kajian terperinci berkaitan genetik kulit Ball Python dilakukan. Jadi, banyak salah tanggapan dan teka-teki genetik masih menyelubungi haiwan ini.

GENETIK YANG MENENTUKAN JANTINA

Kita biasa dengan sistem genetik XY yang menentukan jantina jantan dan betina. Bagi mamalia (termasuk manusia) jantina ditentukan oleh sperma atau jantan yang membawa kromosom X atau Y. Ini kerana, kebanyakan haiwan mamalia betina mempunyai kromosom XX.

  • Jadi jika ovum bertemu sperma membawa kromosom Y – anak yang dihasilkan adalah jantan
  • Jika ovum bertemu sperma membawa kromosom X – anak yang dihasilkan adalah betina.

(nota: sperma dan ovum hanya membawa separuh nilai kromosom kita)

Namun, bagi kebanyakan ikan, beburung, reptilia seperti ular dan serangga… sistem jantina ditentukan oleh betina. Si jantan biasanya membawa kromosom yang sama – ZZ, manakala yang betina akan membawa kromosom yang berbeza ZW. Sistem ini digelar sistem penjantinaan ZW.

Image result for zw genetics

Sistem jantina ZW (Imej: ScratchCraddle)

 

Sebelum ini Ball Python juga dianggap mempunyai sistem jantina ZW seperti kebanyakan reptilia dan ular lain. Namun, beberapa kajian terkini menemukan hipotesis bahawa spesis ular Ball Python dan beberapa ular Boa mempunyai sistem jantina XY seperti manusia.

SI CANTIK CORAL GLOW

Hipotesis jantina XY pada Ball Python ini dikuatkan lagi dengan penemuan ciri pewarisan kulit yang unik pada ular dengan variasi Coral Glow.

Image result for ball python coral glow

Ball Python dengan Coral Glow bercorak Spider (Imej: Kade Bennet)

Morph yang digelar Coral Glow ini mempunyai warna pastel yang unik walaupun corak dan lorek belangnya seperti Ball Python yang ‘wild type’. Keadaan ini dikatakan adalah genetik yang diwarisi.

Image result for coral glow ball python

Imej: http://www.worldofballpythons.com

Namun, ia membingungkan kerana corak pewarisannya tidak menurut sistem Mendel yang biasa. Malah, analisis genetik yang dilakukan menunjukkan ciri Coral Glow ini bukanlah salah satu dari variasi albinism.

Image result for x linked dominant

Imej: www.geneticsupport.org

 

Kajian lanjut menunjukkan ciri Coral Glow diwarisi melalui kaitan dengan kromosom jantina. Sama seperti corak pewarisan gen buta warna pada manusia – berkait dengan kromosom X.

SALAH TANGGAPAN BERKAITAN PIEBALDISM

Kondisi piebald berlaku apabila terdapat tompokan putih tanpa pigmen pada tubuh. Ia berlaku pada banyak spesis – kuda, kucing, keldai… malah manusia juga!

Boleh baca mengenai piebaldism pada kucing disini. Boleh juga menggunakan enjin carian Google berkaitan piebaldism pada kucing Turkish Van yang comel.

Related image

Piebald pada Ball Python (Imej: xyzReptiles)

Keadaan piebald ini adalah diwarisi secara ko-dominan – ciri yang ditunjukkan secara dominan dengan gen yang menentukan warna kulit atau bulu yang lain. Ia adalah diakibatkan oleh mutasi pada kelompok gen KIT (digelar gen W). Mutasi pada gen ini menyebabkan kegagalan melanosit berada di tisu yang betul atau kegagalan melanin dibawa pada kawasan yang betul pada tisu.

Image result for piebald ball python

Ball Pyton dengan kondisi albinism dan piebaldism (Imej: www.probreeders.com)

Kadar kawasan putih atau piebald diwarisi bergantung pada mutasi yang berlaku pada kawasan gen tersebut. Lebih signifikan mutasi tersebut (contohnya, kegagalan KIT total), lebih tinggi dan besar kawasan putih yang diwarisi.

 

Image result for piebald ball python

Piebald (Imej: Wikipedia Commons)

 

Keadaan ini adalah berbeza dengan keadaan albinism yang diakibatkan oleh mutasi pada enzim penghasil melanin. Keadaan melanosit adalah normal. Cuma tidak mampu menghasilkan pigmen yang mewarnai kulit. Albinism adalah ciri resesif.

 

Image result for albino ball python

Ball Python albino (Imej: http://vpi.com)

Mungkin dimasa depan lebih banyak kajian dilakukan pada haiwan Ball Python yang sangat menarik. Moga kita dapat melihat dan belajar lebih banyak lagi tentang keindahan haiwan ciptaan Ilahi ini.

Saya? Tengok dari jauh saja… seriau oi! Tulis artikel ini pun mimpi dua tiga malam… Ishhh

RUJUKAN

Augstenová B, Pokorná MJ, Altmanová M, Frynta D, Rovatsos M, Kratochvíl L. ZW, XY, and yet ZW: sex chromosome evolution in snakes even more complicated. Evolution. 2018 Jul 4.

Gamble T, Castoe TA, Nielsen SV, Banks JL, Card DC, Schield DR, Schuett GW, Booth W. The discovery of XY sex chromosomes in a boa and python. Current Biology. 2017 Jul 24;27(14):2148-53.

Mallery Jr CS, Carrillo MM. A case study of sex-linkage in Python regius (Serpentes: Boidae), with new insights into sex determination in Henophidia. Phyllomedusa: Journal of Herpetology. 2016 Jul 1;15(1):29-42.

Mallery Jr C. Following the chromosomes of inheritance and sex-linkage: an explanation of coral glow/banana. The Ultimate Ball Python: Morph Maker Guide. 2014.

In fond memory of Aizuddin Aiman for his love towards his serpent friends.

May he be placed amongst the righteous in heaven.

 

Pin It on Pinterest

Share This

Share This

Share this post with your friends!