Berapakah paras Hemoglobin (Hb) anda? Adakah normal? Ada juga yang agak rendah terutamanya ibu – ibu mengandung. Malah ramai juga yang tidak tahu paras Hb masing – masing. Terutamanya kaum lelaki. Betul tak?

Paras Hb normal bagi wanita adalah di antara 11.5 – 15.5 g/dL. Manakala untuk lelaki pula di antara 12.5 – 17.5 g/dL. Terdapat sedikit variasi julat ini bergantung kepada makmal yang melakukan ujian tersebut.  Walaubagaimanapun, julat di atas boleh diterima secara umumnya.

Penulis pernah berhadapan dengan satu kes unik yang mana Hb seorang pesakit, Puan H,  turun ke paras yang sangat merbahaya iaitu cuma 2.7 g/dL.

Hb 2.7 g/dL sahaja!.

Imej dari pixabay

Pucat sekejap bila penulis membaca laporan FBC (Full Blood Count, sejenis ujian darah) beliau. Sepucat wajah dan kulit pesakit wanita itu ketika dia datang untuk konsultasi. Malah pihak makmal mengulangi sekali lagi ujian FBC tersebut untuk memastikan keputusan itu betul dan bukan masalah teknikal.

Kisahnya wanita berusia 40an itu sudah mengalami masalah ini berbulan – bulan lamanya. Bermula dengan berak berdarah (haematochezia), pada asalnya dia menyangka itu hanyalah masalah buasir. Namun kejadian yang sama masih berlaku berulangkali. Akhirnya dia berjumpa dengan doktor pakar di hospital swasta. Ujian ‘colonoscopy’ (skop di bahagian usus) dilakukan dan seterusnya doktor tersebut mencadangkan ujian MRI untuk memastikan punca perdarahan. Namun beliau menolak dan berhenti dari meneruskan follow-up.

Dia mengambil keputusan untuk mencuba rawatan alternatif. Ketika dia menceritakan hal ini, penulis mula terkedu. Namun penulis mengambil pendekatan profesional dan meneruskan history taking tanpa sebarang prejudis. Walaupun sebenarnya penulis agak terkilan kerana Puan H tidak meneruskan rawatan di hospital swasta tersebut. Jika masalah kewangan adalah isunya, boleh saja Puan H mendapatkan surat rujukan untuk meneruskan rawatan di hospital kerajaan. Penulis pasti hospital kita mampu merawat penyakit Puan H.

Puan H turut mendapatkan rawatan homeopathy sebagai rawatan alternatif. Imej dari pixabay.

Nampaknya rawatan alternatif tidak berjaya menyembuhkan penyakit Puan H. Itupun lama juga sebelum akhirnya dia menyerah diri ke klinik penulis untuk memulakan semula proses rawatan di hospital. Sebaik saja penulis menyiapkan surat rujukan ke hospital kerajaan yang terdekat, rupanya kisah tidak berakhir di situ.

“Puan perlu ke hospital hari ini juga. Paras Hb puan adalah di tahap yang sangat kritikal. Bila – bila masa sahaja Puan boleh pengsan. Puan perlukan pemindahan darah dengan segera.” ujar penulis.

“Tapi doktor, saya tidak mahu darah orang asing masuk ke badan saya. Saya tak boleh terima rawatan itu. Boleh tak saya meminta anak saya menderma darah untuk saya?”. Dia benar – benar merayu.

Sepeket darah untuk transfusi. Imej dari Pixabay.

“Masalahnya Puan, pihak hospital perlu pantas merawat Puan. Mereka tidak boleh membuang masa untuk memproses darah anak Puan sebelum membuat pemindahan darah. Lagi pula ada risiko keadaan ‘Transfusion-Associated Graft-Versus-Host Disease’ yang boleh berlaku. Keadaan ini menyebabkan darah anak Puan  bertindakbalas dengan badan Puan dan boleh membahayakan nyawa Puan pula.  Keadaan Puan yang terdesak sekarang adalah dikira darurat. Puan perlu memikirkan nyawa Puan melebihi isu yang lain. Tolonglah Puan. Segeralah ke hospital sekarang juga. Serahkan surat ini ke Bahagian Kecemasan dan mereka akan uruskan segalanya.” Penulis masih berusaha memujuk dengan tenang di samping jantung penulis yang berdegup laju. Bimbang jika dia collapse di depan mata.

“Doktor, boleh tak jika saya balik rumah dulu untuk siapkan apa – apa yang patut. Malam nanti saya pergi hospital.”

Penulis rasa nak pengsan.

“Puan tak perlu siapkan apa – apa dah. Makanan dan pakaian disediakan di hospital. Suami boleh uruskan rumah dan anak – anak. Nanti dia bawakan pakaian dalam dan toiletries untuk Puan.” Penulis memberi kata – kata akhir.

Beberapa minggu selepas itu penulis terjumpa Puan H di pasaraya.

“Doktor, saya nak ucapkan berbanyak terima kasih kerana bantuan doktor tempohari. Kalaulah doktor tidak memujuk saya bersungguh – sungguh mungkin saya masih takut nak ke hospital. Glamer sekejap kes saya di hospital. Terkejut mereka berjumpa Hb yang serendah Hb saya.”

Bukan mereka saja yang terkejut, saya juga. Kata penulis di dalam hati. Gembira dan bersyukur melihat kulit wajahnya kembali kemerahan. Temujanji untuk MRI sudah dibuat. Walaupun diagnosis terakhir masih belum dicapai (kerana perlu menunggu keputusan MRI), terpancar kelegaan di raut wajahnya. Penulis  tidak lagi berjumpa dengan Puan H selepas itu. Moga – moga dia kembali pulih sepenuhnya.

Ini sains, beb!

#doayangbaik-baik

#aurora

Rujukan:

Malladi SV, Paul R, Chandra N, Rao NM, Raju SY. TA-GVHD, a Fatal Complication Following Blood Transfusion from a First-Degree Relative. J Obstet Gynaecol India. 2013 Oct;63(5):344-6.