imej:https://www.health.harvard.edu

Arthritis adalah satu keradangan yang akan disusuli dengan rasa sakit di bahagian sendi, kemerahan, bengkak, dan kadang kala membawa kepada kekejangan di bahagian sendi sekaligus menyebabkan kesukaran untuk bergerak. Klasifikasi arthritis termasuklah osteoarthritis (OA), arthritis rheumatoid, spondyloarthritis dan terdapat juga arthritis yang disebabkan oleh jangkitan kuman.

Arthritis dipengaruhi oleh pelbagai faktor mengikut kepada klasifikasi. Antara golongan yang biasa mendapat arthritis adalah mereka yang berumur lebih daripada 40 tahun. Pesakit yang mendapat osteoarthritis akan mengalami kesakitan di bahagian sendi disebabkan rawan (cartilage) yang bertindak seperti kusyen terhakis dan merosot dari segi fungsinya.  Pesakit akan merasa sakit kerana tiada lagi lapisan yang melindungi daripada geseran antara permukaan tulang sendi. Selalunya pesakit osteoarthritis akan merasa sakit apabila sendi digerakkan, kekejangan di waktu pagi serta kesakitan yang akan sedikit berkurangan apabila otot sendi dibiarkan untuk berehat seketika (apabila duduk atau tidak bergerak).

Pesakit osteoarthritis akan dibekalkan dengan ubat penahan sakit seperti NSAIDS (nonsteroidal anti-inflammatory drugs) dan selective COX inhibitors, corticosteroids untuk mengurangkan keradangan akibat sel-sel radang yang tinggi mahupun opiates untuk situasi yang lebih kritikal, iaitu kumpulan ubat yang akan merangsang reseptor di dalam bahagian otak untuk mengurangkan kesakitan. Selain itu, terapi lain termasuklah senaman untuk menggerakkan sendi bagi mengguatkan otot-otot di sekeliling sendi yang terlibat. Jika rawatan dan terapi ini kurang berkesan, selalunya doktor akan memberi laluan alternatif  seperti suntikan hormone, suntikan hyaluronic acids yang bertindak sebagai pelincir, pembedahan untuk  menggantikan sendi (arthroplasty) serta pembedahan lain seperti osteotomy. Terdapat intervasi lain juga yang bersesuaian seperti suplementasi nutraceutical yang dibenarkan contohnya glucosamine, chondroitin sulfate ataupun collagen hydrolysate.

Bagaimana pula dengan pengambilan sup tulang ayam sebagai rawatan alternatif dalam penghasilan tulang rawan? Adakah mengambil sup rawan, sup tulang, sup kaki ayam akan membantu masalah osteoarthritis? Setakat ini, tiada bukti saintifik yang menyokong  pendapat ini. Ini kerana, apabila tulang atau rawan direbus, ia akan mengahasilkan gelatin. Kajian di dalam haiwan makmal  (Wang, L. et al., 2015)  menunjukkan penyerapan gelatin ke dalam sistem tubuh badan, tetapi tiada bukti yang kukuh dan  signifikan untuk menyokong pengambilan sup tulang bagi terapi osteoarthritis. Walaubagaimanapun, collagen hydrolysate boleh digunakan sebagai alternatif. Collagen hydrolysate ini hanya boleh dihasilkan daripada gelatin apabila melalui proses hydrolysis enzyme di bawah persekitaran yang dikawal (rujuk imej). Oleh itu, dengan memakan sup tulang atau sup kaki ayam, ia tidak menjamin untuk meningkatkan cecair di antara sendi-sendi tulang.

 

Jika pati/stok ayam yang dicadangkan untuk meningkatkan penghasilan bendalir rawan, ini amat dikuatiri kerana pati ayam mempunyai kandungan logam berat yang tinggi selain daripada kandungan garam sodium dan potassium yang turut sama tinggi.

Rujukan

  1. Li, B. (2017). Beneficial Effects of Collagen Hydrolysate: A Review on Recent Developments. Biomedical Journal of Scientific & Technical Research, 1(2). https://doi.org/10.26717/BJSTR.2017.01.000217
  2. Wang, L., Wang, Q., Liang, Q., He, Y., Wang, Z., He, S., … Ma, H. (2015). Determination of bioavailability and identification of collagen peptide in blood after oral ingestion of gelatin. Journal of the Science of Food and Agriculture, 95(13), 2712–2717. https://doi.org/10.1002/jsfa.7008
  3. Profiles of enzymatic hydrolysis of different collagens and derivatives over time. file:///C:/Users/alia/Searches/Downloads/2755-21490-1-PB.pdf.
  4. Infections and arthritis. Best Practice Research Clinical Rheumatology. 2014 Dec;28(6):935-59. doi: 10.1016/j.berh.2015.04.009. Epub 2015 May 27.

Pin It on Pinterest

Share This

Share This

Share this post with your friends!