Darah kita tak kira bangsa melayu, cina, india, afrika hatta golongan diraja yang dikatakan ‘blue blood’ adalah sama berwarna merah.
Ada pelbagai bahan dalam komposisi darah: albumin, platlet, antibodi, sel-sel darah putih, sel darah merah. Seperti namanya, sel darah merah adalah penyumbang utama mengapa darah kita berwarna merah.
Sel darah merah
Sel darah merah mempunyai protein-protein yang digelar sebagai haemoglobin. Protein ini mempunyai cecincin porfirin yang memegang ion besi (Ferum) untuk mengangkut oksigen. Selain fungsinya dalam pengangkutan oksigen, haemoglobin memberikan warna merah pada sel darah kita.
PERLU CUCI DARAH?
Darah yang dipam dari jantung kepada seluruh tubuh adalah darah yang kaya oksigen. Hemoglobin dalam darah ini dalam keadaan teroksida dan menyebabkan darah berwarna merah terang.
Manakala, darah dari salur vena yang mengangkut darah kembali ke jantung adalah darah yang kurang oksigen. Hemoglobin dalam keadaan terdeoksida menyebabkan darah berwarna sedikit gelap (merah gelap).
Cecincin porfirin (heme) yang memegang ferum ditengahnya. Molekul ini tersemat antara protein hemoglobin. Imej: Benjamin Cummings
Sebab itulah anda melihat iklan-iklan rawatan ozon yang heboh diperkatakan menunjukkan darah sebelum ‘rawatan’ berwarna gelap, selepas melalui mesin ozon berwarna merah terang.
Ozon mengoksidakan haemoglobin dalam darah anda dan menyebabkan perubahan warna tersebut. Bukannya mesin tersebut men’cuci’ darah, atau darah anda berwarna gelap kerana ‘kotor’ sebelum rawatan.
Darah yang kononnya melalui ‘terapi’ ozon.
ADAKAH ‘BLUE BLOOD’ WUJUD?
Sebenarnya, belangkas yang dikatakan berdarah biru bukanlah mitos. Belangkas dan krustasia (udang, ketam), labah-labah, sotong, sotong kurita, moluska (kerang-kerangan) mempunyai hemocyanine sebagai pengangkut oksigen.
Hemocyanin mengandungi ion logam kuprum yang menyebabkan darah tidak berwarna apabila tidak teroksida dan berwarna biru apabila mengangkut oksigen.
Darah belangkas sedang diraih. Imej: Nationalgeographic.de
Darah belangkas adalah amat berharga kerana belangkas mempunyai amebocyte yang sangat unik. Amebocyte ini mengandungi coagulogen yang akan menggumpal apabila terdapat infeksi bakteria.
Oxyhemocyanin
Menariknya, coagulogen ini akan menggumpal bakteria dengan cepat (kira-kira 45 minit berbanding dua hari pada mamalia) dan sangat sensitive sehingga boleh mengesan kontaminasi bakteria pada satu bahagian per trillion.
Darah belangkas digunakan dalam industry farmaseutikal untuk mengesan pencemaran bakteria dan endotoksin pada ubatan, vaksin dan sebagainya sebelum dipasarkan.
DARAH WARNA UNGU JUGA ADA!
Sesetengah cacing laut termasuk ‘penis worm’ (ya, saya tidak bergurau!) mempunyai darah berwarna ungu.
Penis worm (Urechis unicinctus) yang mempunyai darah ungu. Imej: Wikipedia
Walaupun cecacing ini mempunyai pengangkut darah dengan ion ferum seperti kita, pigmen pengangkut oksigen mereka lebih mirip belangkas tadi. Ia digelar hemoerythrin.
Hemoerythrin
DARAH WARNA HIJAU? (bukan mak kau hijau!)
Cecacing seperti cacing tanah dan lintah mempunyai chlorocruorin sebagai pengangkut oksigen.
Menariknya, chlorocruorin ini sangat mirip dengan haemoglobin vertebrat seperti manusia dengan cecincin porfirin dan ion ferum. Cuma berbeza kumpulan aldehid pada cecincin porfirin sahaja. Nampaknya, kita dan cacing tidak begitu jauh berbeza….