“… Kenapa tak boleh makan buah durian belanda? Ada antikanser. Takde side effect…”

“… Ambil ekstrak biji apricot ni. Kemo tu semua sintetik. Ini natural….”

“… Ni daun rerama. Boleh sembuhkan kanser. Big pharma tak mahu kita kaji bahan dari tumbuhan. Sebab tak boleh paten. Jadi tak dapat banyak duit…”

Ini adalah ayat-ayat yang biasa kita dengar bila pesakit  kanser disahkan diagnosisnya. Maka berbondong-bondonglah ‘doktor’ tanpa tauliah yang menyogok produk itu dan ini.

Sesetengahnya mungkin berniat baik. Tetapi kalau betul berniat baik, belanja lah produk tu semua. Selalunya produk tersebut akan memakan belanja yang bukan sedikit.

Namun, duit yang dilabur hanya membeli angan dan janji palsu.

BENARKAH DAKWAAN BAHAWA KEMOTERAPI SEMUANYA BERASASKAN SINTETIK SEMATA-MATA?

Dakwaan paling biasa didengari adalah ubat kemoterapi membunuh dan tidak menyembuhkan. Sebenarnya, dakwaan tersebut benar juga.

Kemoterapi berfungsi membunuh sel-sel kanser!

 

Image result for chemical

Dakwaan lain yang juga amat popular adalah ubat-ubatan kemoterapi adalah ubat sintetik. Doktor tidak akan memberi kita ubat yang berasaskan tumbuhan atau produk natural. Mungkin kenyataan ini ada benarnya.

Tetapi, ubatan kemoterapi bukan semuanya dari sintesis kimia seperti: cyclophosphamide yang berbentuk nitrogen mustard (dibangunkan sebagai agen peperangan) atau cisplatin yang berasaskan logam platinum.

 

Related image

Cisplatin… dari platinum tau. Kecil tapi poten dan berharga! Ewwahhh

Tahukah anda?
70% dari ubatan moden yang terdapat di hospital, farmasi dan klinik adalah berasakan sumber alami.

Terdapat banyak agen kemoterapi yang masih digunakan sehingga kini sebenarnya berasal dari tumbuhan, kulat dan bakteria.

Tak percaya?

VINCRISTINE, VINBLASTINE

Pernahkan anda melihat logo Majlis Kanser Nasional (MAKNA) yang berbentuk bunga merah jambu? Mengapa pertubuhan kanser ini mengambil bunga ini sebagai logonya? Apakah signifikan bunga merah jambu ini dengan kanser?

Pernah terfikir?

Sebenarnya, bunga tersebut adalah bunga kemboja cina yang banyak ditanam di tepi-tepi jalan dan di halaman rumah. Warnanya yang cantik dan memikat hati menyebabkan ia menjadi pilihan untuk dijadikan tumbuhan hiasan.

 

Image result for catharanthus roseus

Kemboja Cina

Disebalik kecantikannya, tumbuhan ini sebenarnya telah menyelamatkan nyawa jutaan manusia diseluruh dunia. Dari tumbuhan yang digelar periwinkle atau nama saintifiknya Catharantus roseus ini, diperoleh dua molekul antikanser yang poten: vincristine dan vinblastine.

Kompaun tersebut dipencilkan (isolated) dari pokok kemboja cina untuk rawatan pelbagai jenis kanser seperti: limfoma, leukemia, Hodgkin’s, neuroblastoma, kanser peparu, kanser otak dan lain-lain lagi.

Dahulu terdapat kebun pokok kemboja cina yang luas di Texas untuk menjadi bahan asas menghasilkan kemoterapi vincristine dan vinblastine.

Image result for vincristine

Vincristine. Imej: http://www.chm.bris.ac.uk

Kini, saintis telah menemui jalan untuk menghasilkan kompaun ini secara sintetik. Ye lah… berapa tan metrik kita nak tebang dan perah pokok ini untuk merawat ribuan manusia seluruh dunia kan?

Jika dapat dihasilkan secara sintetik kos penghasilannya juga akan lebih ekonomi. Ia dikomersilkan oleh syarikat farmaseutikal gergasi Eli Lilly.

vbla.gif (2624 bytes)

Vinblastine. Imej: http://www.chm.bris.ac.uk

Tumbuhan ini juga menghasilkan kompaun vindoline dan catharantine yang menjadi bahan asas kajian untuk menghasilkan agen kemoterapi yang lebih baru – VINORELBINE.

DOCETAXEL, PACLITAXEL

Kedua-dua kompaun yang berguna merawat kanser termasuk kanser payudara, perut, prostat, serviks, pancreas, peparu (antaranya) ini diperoleh dari batang pokok Yew atau nama saintifiknya Taxus Baccata.

Sebenarnya docetaxel mula dijumpai dari daun pokok Pacific Yew, Taxus Brevifolia yang hampir pupus.

Image result for Taxus brevifolia

Pokok Taxus. Imej: http://wherethelightenters.net

Pohon rendang berbuah merah ini menghasilkan kompaun taxane yang akan menstabilkan mikrotubul. Keadaan ini akan menyebabkan sel kanser gagal membahagi.

Docetaxel dipasarkan dengan nama Taxotere oleh Sanofi-Adventis. Paclitaxel yang lebih dikenali dengan nama Taxol pula dikomersilkan oleh Bristol-Myers-Squibb.

CAMPTOTHECIN, TOPOTECAN

Asyik pokok dari Eropah dan Amerika saja. Pokok dari Asia?

Haruslah ada!

Camptothecin (CPT) dipencilkan dari pokok Happy, diterjemah secara literal dari perkataan cina ‘xi shu’ yang bermaksud gembira. Nama saintifik bagi pokok ini adalah Camptotheca acuminata. Ia tumbuh dengan banyak di Selatan China dan Tibet.

Image result for Camptotheca acuminata

Camptotheca acuminata

Kompaun topotecan (Hycamtin) pula adalah kompaun semi-sintetik yang dimodifikasi dari molekul camptothecin. Ia dikomersilkan oleh syarikat gergasi Glaxo-Smith-Kline. Kedua-dua molekul ini digunakan untuk rawatan kanser ovari, kanser peparu dan pelbagai jenis kanser lagi.

Ia menambat pada struktur DNA pada lengkuk DNA heliks dan juga merencat enzim DNA Topoisomerase yang membantu dalam transkripsi DNA. Seterusnya menghalang sel dari membahagi.

ETOPOSIDE, TENIPOSIDE

Kompaun yang digelar podophyllotoxin ini dipencilkan dari pokok May apple (Podophyllum peltatum). Pokok ini juga dikenali sebagai pokok Mandrake.

Oh tidaakkk. Pokok ini tidak menjerit seperti dalam filem Harry Potter!

Image result for mandrake professor harry potter

Professor Pomona Sprout memegang mandrake! 

Kedua-duanya agen kemoterapi ini juga digunakan untuk merawat pelbagai jenis kanser kerana sifatnya yang merosakkan DNA melalui tindakbalas dengan enzim DNA Topoisomerase II.

Interaksi etoposide dengan DNA Topoisomerase yang menyebabkan kegagalan mekanisma pembaikan DNA (DNA repair). Jadi, sel akan membunuh dirinya sendiri dengan kehadiran kemoterapi ini dalam sistemnya.

Image result for Podophyllum peltatum

Mandrake atau Podophyllum peltatum. Imej: tipdisease.com

Rasanya sudah cukup beberapa contoh kemoterapi yang diperoleh dari tumbuhan ini untuk membuatkan kita berfikir dan menyangkal tuduhan yang sering dilontarkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

Kesemua contoh diatas memberikan kesan sampingan yang selalu anda geruni tatkala mendengarnya: muntah, cirit-birit, ulser, hilang selera makan, lemah, keguguran rambut dan sebagainya. Walaupun diperoleh dari sumber tumbuhan.

Maka, jika anda mengambil tumbuhan ini secara natural juga anda mempunyai risiko untuk mendapat keracunan dan kesan sampingan yang sama.

MENGAPA KITA TAK AMBIL TEH KEMBOJA CINA SAJA, KAN LEBIH NATURAL?

Mungkin dengan mengambil teh kemboja cina kita boleh mendapat manfaat yang sama. Tetapi dosnya? Mungkin anda perlu mengambil 100 kg kemboja cina untuk mendapat dos yang sama dengan rawatan.

Mengapa?

Ubat yang terdapat dihospital 99% adalah vincristine atau vinblastine yang memberi manfaat rawatan untuk penyakit anda. Ia telah dipencilkan dan dalam bentuk tulen.

Image result for chemotherapy drugs

Namun, tumbuhan tersebut mempunyai jutaan kompaun lain bersamanya yang mungkin tidak membawa manfaat, malah lebih membahayakan lagi. Kan rugi?

MANA DURIAN BELANDA? TAK BUAT RESEARCH KAH?

Seperti kehidupan, ada yang menghadapi kejayaan, ada yang menghadapi kegagalan. Ujian klinikal terhadap kompaun dari durian belanda telah dijalankan.

Namun, kemudaratan yang ditunjukkan lebih dari kemaslahatan yang mampu diberikan. Penyelidikan ini telah dijalankan lebih dari dua puluh tahun lepas. Boleh baca dengan lanjut disini.

Jadi jika anda disuakan dengan alasan seperti diatas untuk penjual melariskan produk, boleh minta mereka baca artikel ini, ya?!

RUJUKAN

Owellen RJ, Owens Jr AH, Donigian DW. The binding of vincristine, vinblastine and colchicine to tubulin. Biochemical and biophysical research communications. 1972 May 26;47(4):685-91.

Burstein HJ, Kuter I, Campos SM, Gelman RS, Tribou L, Parker LM, Manola J, Younger J, Matulonis U, Bunnell CA, Partridge AH. Clinical activity of trastuzumab and vinorelbine in women with HER2-overexpressing metastatic breast cancer. Journal of Clinical Oncology. 2001 May 15;19(10):2722-30.

Hande KR. Etoposide: four decades of development of a topoisomerase II inhibitor. European journal of cancer. 1998 Sep 1;34(10):1514-21.

Pizzolato JF, Saltz LB. The camptothecins. The Lancet. 2003 Jun 28;361(9376):2235-42.

Verweij J, Clavel M, Chevalier B. Paclitaxel (TaxolTM) and docetaxel (TaxotereTM): Not simply two of a kind. Annals of Oncology. 1994 Jul 1;5(6):495-505.

Pin It on Pinterest

Share This

Share This

Share this post with your friends!