Pengembirian (kembiri) adalah satu teknik untuk mengekang manusia atau haiwan dari mempunyai nafsu seks atau membiak. Ia boleh dilakukan ke atas kedua-dua jantina menggunakan teknik tertentu atas tujuan untuk mengawal populasi, memutuskan zuriat atau sebab-sebab kesihatan.

Secara tradisinya, proses ini merangkumi pembuangan organ pembiakan seperti testikel dan ovari. Ia dilakukan bukan hanya untuk menghapuskan kilang sperma dan ovum, tetapi menghalang penghasilan hormon-hormon yang merangsang nafsu seksualiti dari dihasilkan.

Kaedah moden membuka kepada  alternatif yang menidakkan penggunaan testikel pada empunya tubuh tanpa sebarang pembuangan iaitu pengembirian secara kimia. Proses ini melibatkan pengambilan ubat anaphrodisiac yang bersifat merencat penghasilan hormon atau menindas kesan hormon bagi mengurangkan nafsu seks atau kemampuan fizikal untuk melakukan hubungan seks.

Ubatan hormon gantian seperti medroxyprogesterone (progestogen) dan diethylstilbesterol (gantian estrogen) atau agen antiandrogen (cyproterone acetate) selalunya digunakan untuk merendahkan seksualiti dan keinginan seks (libido) lelaki.

Proses ini boleh dilakukan ke atas manusia kerana ia tidak melibatkan sebarang pembedahan dan kesannya boleh diundurkan apabila pengambilan ubat itu dihentikan. Ada beberapa kesan sampingan terhadap individu tertentu bergantung kepada kadar toleran terhadap bahan yang digunakan. Ini boleh diatasi dengan pemerhatian dari doktor dan penasihat kesihatan.

Ini menyebabkan pengembirian kimia menjadi satu hukuman rehabilitatif kerana ianya efektif, berperikemanusiaan dan memberi peluang kepada seseorang itu untuk insaf. Ia telah digunapakai di beberapa negara sebagai hukuman bagi penjenayah seksual seperti Korea Selatan, Amerika, Australia, India, United Kingdom dan sebagainya. Malah di negara jiran kita Indonesia, pengembirian kimia telah diperkenalkan pada tahun 2016 untuk menghukum penjenayah seksual dan pedofil.

Beza antara pengembirian dan sterilisasi

Dalam vernakular tempatan, kedua-dua istilah ini tampak sama. Pada hakikatnya ia mempunya sifat yang berbeza. Dalam konteks fisiologi lelaki, pengembirian melibatkan pembuangan testis sepenuhnya, menghapuskan terus penerbitan hormon testosteron semulajadi.

Sterilisasi pula tidak menyekat penerbitan hormon, tetapi menyekat aliran sperma dari bercampur ke dalam air mani. Sterilisasi adalah amat sesuai untuk merancang keluarga kerana ia tidak menjejaskan nafsu dan kemampuan seks.

Kaedah biasa bagi sterilisasi pada lelaki adalah vasektomi, iaitu kaedah memotong atau mengikat saluran vas deferens, menyebabkan sperma dari testis tidak dapat disalurkan ke prostat. Vasektomi masih membenarkan penghasilan sperma dan hormon berlaku. Kaedah ini tidak menghalang seksualiti, keinginan seks dan penghasilan air mani. Namun, proses ejakulasi hanya akan menghasilkan air mani atau semen kosong tanpa sperma.

Pengembirian Kimia di Malaysia

Sebenarnya jenayah seksual dan pedofilia sudah terlalu banyak menular di kalangan rakyat Malaysia. Ini menyebabkan Kementerian Keluarga dan Pembangunan Masyarakat pernah berniat untuk mencadangkan hukuman pengembirian kimia pada tahun 2016 (Carvalho et al 2016). Namun ia masih di peringkat cadangan dan belum digunapakai di Malaysia. Diharap pimpinan kerajaan baharu akan dapat melihat semula aplikasi pengembirian kimia ini bagi mengekang penjenayah seksual dan pedofil di Malaysia.

#azarimy
#cisplatin

Waring, O. (2018), “What is chemical castration, why is it done and can it happen to women?“, Metro, pautan

Turner, D., Petermann, J., Harrison, K., Krueger, R. and Briken, P., (2017), “Pharmacological treatment of patients with paraphilic disorders and risk of sexual offending: An international perspective.” The World Journal of Biological Psychiatry, pp.1-10.

Chemical Castration“, Medical Dictionary, Merriem-Webster. pautan
Carvalho, M. et al (2016), “Chemical castration for paedophiles?“, The Star, pautan
Featured image by Freepi